Perlumbaan jelajah berbasikal wanita antarabangsa pertama di Malaysia, Le Tour de Femina (LTDF) 2019, bakal menampilkan kejutan dan perubahan lebih besar selepas dipinda tarikhnya kepada 16 hingga 21 November depan.

Selain tarikh asal yang sepatutnya diadakan Jumaat ini, perlumbaan jelajah berkenaan juga kini mahu dikenali sebagai Arya Le Tour de Femina 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sport Sdn Bhd, Shahirudeen Seeni Mohamad, menjelaskan laluan perlumbaan enam peringkat berstatus UCI 2.1 (wanita elit) itu turut akan diubah dan bakal diumumkan minggu depan.

Syarikat Ciclista sebagai penganjur mengesahkan ketika ini sebanyak 19 pasukan telah mengesahkan penglibatan mereka.

"Memang (akan) ada perubahan besar (terhadap laluan jelajah ini). Laluan ini belum pernah dibuat lagi di Malaysia, ia satu kejutan dan (merupakan) laluan terbaik atas permintaan penaja.

"Mungkin ini adalah laluan terbaik dan terbaik dalam sejarah," kata Shahirudeen dalam majlis penajaan perlumbaan itu di Dorsett Grand Subang, Selangor, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Arya Premier Sdn Bhd, Zarina Mohd Nor, menyifatkan aspek penajaan jelajah itu juga sebagai menepati misi syarikat itu dalam memperkasakan golongan wanita selain mempromosikan Persidangan Wanita Asia-Afrika (AAWC) 2020.

"Dengan penajaan ini, ia boleh menjadi platform untuk mempromosikan AAWC sempena Hari Wanita Sedunia.

"Selain mahu menyumbang kepada sukan berbasikal, kami juga mahu membantu negara dalam menjana pendapatan," kata Zarina.