Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya wanita negara, Amir Mustafa, masih mempertimbangkan penglibatan pelumbanya dalam perlumbaan Le Tour de Femina (LTdF) jika ia ditunda ke bulan depan.

Perlumbaan jelajah berbasikal wanita pertama di Malaysia itu sepatutnya bermula 7 September lalu, namun ia ditunda dan berkemungkinan akan dilangsungkan pada 16-21 November ini.

Jika tarikh itu dimuktamadkan, Amir berasakan skuad kebangsaan tidak akan terlibat dengan perlumbaan itu bagi mengelakkan risiko kecederaan menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan depan.

"Tarikh perlumbaan LTdF hanya seminggu sebelum Sukan SEA, jadi kami kena fikir balik sebab takut ada apa-apa terjadi kepada pelumba yang akan beraksi di Filipina.

"Takut-takut kalau ada pelumba yang terjatuh atau sebagainya, jadi kami perlu memikirkan risikonya," katanya.

Buat masa ini, skuad negara akan ke Cameron Highlands bagi menjalani latihan intensif selama 10 hari sebelum menyertai Perlumbaan Antarabangsa Naxijiang di China dan Perlumbaan Kebudayaan Indonesia sepanjang bulan ini.

Turut berasa kecewa terhadap penundaan itu ialah pelumba muda negara, Nur Azrenna Ahmad Jumry.

"Ia perlumbaan jelajah (wanita) pertama di Malaysia, jadi saya harap ia akan mendapat sambutan daripada semua orang.

"Ia sebagai satu platform untuk menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai pelumba wanita," katanya.