Pelumba Ducati, Jorge Lorenzo, merangkul kemenangan keduanya musim ini selepas mengungguli Grand Prix Catalunya manakala pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, gagal menamatkan saingan selepas terjatuh dalam pusingan ke-20, hari ini.

Lorenzo yang diberi gelaran "X-Fuera" memulakan perlumbaan di petak pertama, memimpin saingan sehingga tamat biarpun diberi tentangan sengit perlumba Repsol Honda, Marc Marquez, khususnya dalam lima pusingan terawal.

Malang buat rakan sepasukan Lorenzo, Andrea Dovizioso, yang gagal menamatkan saingan dan situasi itu membuka ruang buat legenda permotoran dunia, Valentino Rossi, untuk memperbaiki kedudukan di sebalik dihambat dua lagi perlumba Itali, Andrea Iannone dan Danilo Petrucci.

Rossi akhirnya melengkapkan kedudukan podium sementara Marquez yang berusaha memenangi perlumbaan keempatnya musim ini terpaksa akur untuk menamatkan saingan di tempat kedua.

Sementara itu, wakil negara, Hafizh Syahrin, yang menunggang jentera Monster Yamaha Tech 3 gagal menghabiskan saingan selepas terlibat dalam kemalangan -- dia berada di kedudukan kesembilan tatkala saingan berbaki empat pusingan lagi.

Selepas mengharungi 24 pusingan, Lorenzo mengungguli saingan dengan catatan 40 minit 13.566 saat untuk mengesahkan kemenangan kedua berturut-turut musim ini selepas cemerlang di Itali, 3 Jun lalu.