Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, perlu menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa secara konsisten sepanjang tahun depan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas meraih tangga kelapan dengan catatan 2.27 meter dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Doha semalam.

Atlet berusia 32 tahun itu mencatat sejarah sebagai wakil pertama negara menempatkan diri dalam final Kejohanan Dunia dan harus berbangga dengan prestasinya selepas mengatasi atlet dari Itali, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Ia petanda positif buat jaguh kelahiran Sepang, Selangor itu untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo, sama ada menerusi had kelayakan 2.33m atau menyertai kelompok ranking 32 terbaik dunia.

Apa yang menarik, prestasi Hup Wei itu meletakkannya di ranking pertama Asia Tenggara untuk mengatasi rakan senegara, Nauraj Singh, menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan.

"Saya memang puas hati dengan prestasi saya dalam Kejohanan Dunia.

"Sebabnya, saya dapat mencapai rekod peribadi terbaik saya dalam final.

"Sewaktu final, saya memang sudah terlalu letih tetapi itu bukan alasan kerana semua orang (peserta) juga sama.

"Tentang kelayakan ke Sukan Olimpik, saya perlu menyertai kejohanan besar tahun depan untuk meningkatkan ranking dan layak ke temasya itu," katanya.