Masih ada dua slot yang perlu diisi oleh anak buah pengendali skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, di mana perlawanan persahabatan yang berlangsung setakat ini akan menjadi penilaian menjelang separuh akhir Liga Hoki Wanita Dunia 2017 di Belgium nanti.

Dhaarma masih lagi mencari pemain yang benar-benar berpotensi untuk mengisi posisi tengah dan serangan sebelum memuktamadkan senarai 18 pemain yang akan dibawa ke Brussels.

Selepas lima hari berdepan aksi persahabatan bersama skuad pembangunan negara, Dhaarma menekankan aspek dua posisi itu untuk menilai tahap anak buahnya.

Kekal dengan perancangan menghadapi aksi persahabatan pada minggu hadapan dengan mengaturkannya setiap malam, Dhaarma tidak menolak mereka masih cuba mendapatkan rentak penyudah berkesan daripada pukulan sudut penalti.

"Saya sudah mempunyai pemain serba boleh yang mampu bermain di bahagian tengah dan serangan.

"Jadi, dua tempat terakhir itu mungkin seorang pemain tengah dan penyerang ataupun kedua-duanya adalah penyerang," ujarnya.

Ketua pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani, pula kini dalam proses menyesuaikan diri dengan beberapa taktikal di mana Dhaarma sering kali mengarahkan taktikal berbeza dalam setiap aksi persahabatan.

"Jurulatih mendedahkan kami dengan beberapa taktikal, misalnya ketika bertemu Belgium dan Sepanyol, kami akan bermain dengan taktikal berbeza.

"Dan ketika bertemu pasukan kuat yang lain, kami akan beraksi dengan taktikal berlainan," katanya.