Juara bertahan kategori perempuan, Selangor, meneruskan rentak kemenangan dengan menjadikan Kedah mangsa selepas menang 4-1 dalam aksi Kumpulan A, Liga Hoki Kebangsaan Bawah 16 hari ini.

Farah Hanis sekali lagi mencipta impak apabila menjaringkan gol keenam peribadinya dalam saingan liga.

Selepas meratah Kelantan 7-0 semalam, skuad kendalian Azman Ali itu tidak menunggu lama untuk membolosi gawang Kedah menerusi gol padang Nur Farah Anis Azharuddin pada minit kedua.

Tujuh minit berselang, Nur Aisyah Fadzinu Aulla melebarkan kedudukan untuk gol kedua.

Kedah bangkit merapatkan jurang menerusi gerakan yang disudahkan Nurul Atiqah Mad Saad dalam babak kedua.

Namun, keampuhan Selangor sukar ditandingi apabila mereka berjaya menambah gol ketiga menerusi Izzatul Syahirah Ahmad pada minit-43.

Farah kemudiannya menoktahkan kemenangan Selangor dengan percubaan yang gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Nurul Asyikin Arifin.

Ini merupakan jaringan keenam pemain itu untuk mendahului senarai penjaring terbanyak.

"Hari ini kami, mendapat tujuh penalty corner tetapi kami gagal mencuri satu gol, kami perlu perbaiki kelemahan ini," kata Azman.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Mohd Jadwi Abdul Halim, menganggap kekalahan ini satu pengajaran bermakna buat anak buahnya.

"Kami tewas kepada pasukan yang lebih baik. Permainan mereka cukup tersusun.

"Ini pengajaran berguna buat Kedah," katanya.