Pemain pertahanan skuad hoki wanita negara, Raja Norsharina Raja Shabudin, melabel New Zealand sebagai pasukan yang memiliki kelebihan daripada segi teknik individu pemainnya yang menjadi kekuatan utama skuad di ranking no. 5 dunia itu.

Mahu tidak mahu, kekuatan lawan itu perlu diatasi skuad negara yang memiliki misi memperbaiki aksi mereka dalam saingan terakhir peringkat kumpulan Liga Hoki Dunia Wanita Separuh Akhir, malam ini.

Tegas Raja Norsharina, dia menjangkakan pertahanan negara bakal dikerah skuad New Zealand, namun itu bukan bermakna Malaysia sekadar memiliki pelan untuk bertahan semata-mata.

Seperti apa yang direncanakan jurulatih negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, cetusan serangan balas menjadi modus operandi negara ketika berhadapan dengan New Zealand.

"Mereka mempunyai kemahiran individu yang sangat tinggi.

"Sebagai pemain pertahanan, saya perlu lebih bersabar untuk membuat terjahan dan berusaha mengeluarkan mereka dari kawasan 'D' negara," ujarnya.

Perbezaan ketara membabitkan fizikal juga akan menjadi faktor kelebihan pihak lawan.

Namun, ia boleh diatasi andai Malaysia mampu tampil dengan corak permainan pantas dan licik.

"Fizikal mereka lebih besar tiga kali ganda daripada kami.

"Tetapi, kami lebih pantas daripada pasukan yang ada di sini."