Kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani, tidak mahu aksi di Belgium sekadar melepaskan batuk di tangga walaupun mengetahui hakikat Malaysia hanya dianggap sebagai pasukan belasahan semata-mata.

Alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan.

Itu perumpamaan yang mahu diterapkan Siti Noor Amarina biarpun hanya dilabel sebagai underdog, tetapi selagi ia belum dibuktikan di atas padang, segalanya mampu berlaku buat skuad negara.

Tidak tertekan dengan pandangan pasukan lain terhadap skuad negara, aksi di Belgium bakal memberi kelainan atau tidak mustahil buat Malaysia untuk melakar kejutan.

"Kami menyedari saingan Liga Hoki Dunia kali ini amat sukar, peluang yang amat tipis harus digunakan untuk mengutip mata ketika berdepan mereka," katanya.

Siti Noor Amarina bersama barisan di bawah bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sudah bersedia daripada segi mental dengan kekuatan pasukan gergasi seperti Sepanyol, atau Belgium di mana keseluruhan daripada mereka pernah memiliki pengalaman beraksi dalam Kejohanan Dunia.

"Perkara yang paling penting adalah setiap pemain perlu memiliki keyakinan dengan kebolehan yang dimiliki dan memberikan yang terbaik di atas padang."

Kempen skuad negara dalam Liga Hoki Dunia Wanita separuh akhir akan bermula pada 21 Jun menentang Australia, disusuli Sepanyol sebelum bertemu dengan tuan rumah Belgium, dan New Zealand.