MALAYSIA 9 HONG KONG 0

Malaysia memulakan kempen pusingan kedua Liga Hoki Dunia Wanita dengan aksi garang apabila membelasah Hong Kong 9-0 dalam aksi Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur, malam ini.


Malaysia, yang berada di ranking ke-21, benar-benar menguji keseluruhan jentera pasukan.

Bagaimanapun, anak buah Dhaarma Raj Abdullah hanya memulakan pesta gol pada suku kedua permainan, menerusi jaringan padang Nurul Nabihah Mansur.

Selepas itu, giliran pemain tonggak, Siti Noor Amarina Ruhani dan Fazilla Sylvester Silin, menambah dua lagi jaringan ketika menuju penamat separuh masa pertama.

Mendahului Hong Kong dengan tiga gol, rentak permainan pemain negara semakin meyakinkan dalam mengharungi baki perlawanan.

Kegugupan pertahanan Hong Kong akhirnya menyaksikan gawang mereka bocor lagi dan kali ini menerusi asakan secara bertubi-tubi tuan rumah sehingga menghasilkan gol pada minit ke-46, 48 dan 49.

Ia termasuklah jaringan pukulan sudut penalti Nuraini Rashid, dia kemudian mencuri tumpuan pada penghujung permainan dengan mencatatkan jaringan hatrik dengan menambah dua lagi jaringan pada minit ke-56 dan beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyi.

Begitupun, Dhaarma enggan terbawa-bawa dengan kejayaan ini kerana ujian sebenar Malaysia adalah ketika bertemu Ireland, Isnin ini.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Kazakhstan menjadi mangsa belasahan Ireland 12-0.

"Kami terus beri Hong Kong tekanan dan mereka tidak mampu untuk mengeluarkan bola.

"Hari ini, walaupun beraksi dengan kurang seorang pemain pun, kami masih mampu memberi Hong Kong tekanan.

"Tetapi kita tak mampu bermain seperti ini ketika menentang Ireland yang mempunyai kualiti dan kekuatan.

"Mungkin dalam perlawanan itu nanti, kita yang perlu berpatah balik," kata Dhaarma.

"Pemain saya menikmati permainan ini.

"Walaupun kami melepaskan sembilan gol, namun kami menampilkan permainan yang baik.

"Dalam suku pertama dan ketiga, kami bertahan dengan begitu baik.

"Namun, sebaik permainan bersambung, kami terpaksa menyusun semula gerakan kami dan berdepan kesukaran sehingga menyaksikan dalam suku kedua dan keempat, kami melepaskan banyak gol," ujar jurulatih Hong Kong, Arif Ali.

KEPUTUSAN KUMPULAN A:

Itali 3 Wales 0

Thailand 4 Singapura 0

Kredit imej: Konfederasi Hoki Malaysia