Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, mahu pemain-pemain menggunakan peluang keemasan untuk mengesahkan tiket mutlak ke Piala Dunia 2018 dengan menewaskan India dalam saingan kelompok lapan terbaik separuh akhir Liga Dunia malam ini.

Selepas menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan A, Malaysia mara suku akhir berdepan India dan ia umpama aksi final buat The Malaysia Hockey Tigers.

Ini kerana jika mara ke separuh akhir, Malaysia akan mengesahkan slot ke Piala Dunia kerana kuota diberikan kepada lima pasukan terbaik yang beraksi di London.

Justeru, pemain perlu merebut peluang ini kerana India adalah lawan yang mampu ditewaskan Malaysia.

"Peluang untuk ke separuh akhir agak besar. Bukan mudah untuk dapat peluang seperti ini.

"Ia akan menjadi perlawanan yang penting buat kami. Jika menang, sudah pasti kami akan layak ke Piala Dunia. Malaysia perlu mempamerkan persembahan terbaik dan merebut setiap peluang," kata Van Huizen.

Rekod pertemuan berpihak kepada India dengan 79 kemenangan dalam 113 pertemuan.

Namun, juara Asia ini tewas di tangan Malaysia dalam pertembungan terakhir dalam Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, bulan lalu.

"Secara jujur, saya tidak tahu prestasi dan kekuatan semasa Malaysia buat masa ini. Saya dan pembantu saya akan membuat analisis terperinci dan kemudian kami akan menerapkan strategi berkesan dalam misi menghadapi Malaysia," kata pengendali India, Roelant Oltman.