Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim, semakin tajam apabila menjaringkan gol dalam ketiga-tiga aksi persahabatan yang dilihat sebagai petanda kebangkitannya selepas mengalami masalah prestasi.

Selepas menjalani tiga aksi persahabatan bertemu Wales, Kanada dan skuad pembangunan England, pemain berusia 29 tahun itu kembali menemui sentuhan untuk menjaringkan gol, dengan berjaya menghasilkan satu jaringan dalam setiap perlawanan.

"Alhamdulillah, dalam tiga perlawanan persahabatan (di London), saya berjaya menjaringkan satu gol dalam setiap perlawanan.

"Keyakinan untuk mengambil flik agak tinggi. Saya harap peluang yang ada nanti akan digunakan sehabis baik," katanya.

Razie mengakui dia gagal mempamerkan persembahan terbaik ketika saingan Piala Sultan Azlan Shah, dan berikrar untuk memastikan setiap pukulan sudut penalti disudahi dengan jaringan di London nanti.

"Dalam Piala Sultan Azlan Shah, April lalu, saya mengakui banyak pukulan sudut penalti tidak menjadi. Saya mengharapkan dapat memberikan yang terbaik dalam saingan Liga Hoki Dunia nanti."

Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia akan menentang pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Argentina, Sabtu ini.

Walaupun berdepan saingan di peringkat kumpulan yang sengit, pertahanan negara itu juga berpendapat skuad hoki negara mampu menghasilkan keputusan yang positif.

"Persefahaman agak baik. Dalam tiga perlawanan ini, saya nampak pemain mula fokus terhadap pertandingan ini.

"Mereka mempamerkan aksi terbaik, terutama barisan serangan, apabila mereka turut menghasilkan gol padang.

"Dalam perlawanan sulung (menentang Argentina), Insya-Allah kami akan memberi yang terbaik."