Pakar pukulan sudut penalti Argentina, Gonzalo Peillat, menganggap Malaysia lebih liat untuk ditewaskan selepas dia meledak dua gol ketika membantu pasukan no. 1 dunia itu meraih kemenangan sulung dalam separuh akhir Liga Dunia kelmarin.

"Malaysia memiliki gaya permainan yang baik dan sangat agresif ketika melancarkan serangan. Pukulan sudut penalti mereka juga sangat berkualiti.

"Kami perlu mengawasi setiap pergerakan mereka sepanjang perlawanan," kata Peillat.

Argentina akan turun sebagai pilihan untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika menundukkan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan
pembukaan.

Pilihan utama kejohanan ini lambat panas namun tetap berjaya menewaskan Korea, dengan Peillat muncul wira apabila meledak dua gol.

Selain Peillat, Malaysia juga perlu berwaspada dengan taktikal jurulatih, Carlos Retegui, dan pemain-pemain yang pernah menyarung jersi Terengganu Hockey Team pada 2015.

"Malaysia memiliki pemain-pemain yang laju, mereka kini menggunakan taktikal yang berbeza dan kami harus berwaspada sepanjang perlawanan," kata Retegui.