Pertahanan hoki negara, Faiz Helmi Jali, tidak gentar berdepan Argentina dalam aksi sulung separuh akhir Liga Dunia di London walaupun kubu negara dijangka bekerja keras menghalang asakan jentera serangan pasukan no. 1 dunia itu.

Tugas berat menanti pertahanan dan penjaga gol The Malaysian Hockey Tigers.

Mereka tidak pernah memiliki pengalaman menumbangkan Argentina, dengan pertemuan terakhir dalam Piala Sultan Azlan Shah 2012 menyaksikan Malaysia tewas 0-1.

Reputasi Argentina semakin hebat selepas meraih pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 sebelum merampas ranking pertama dunia.

Namun, semua itu tidak cukup untuk menggugat pertahanan negara.

"Kami telah menganalisis gaya permainan Argentina. Barisan penyerang mereka memiliki tahap kemahiran yang tinggi dan saya berharap pertahanan negara lebih bersabar ketika cuba
menyekat kemaraan mereka," kata Faiz Helmi.

"Ia adalah perlawanan yang sukar, kami perlu mula memberikan tumpuan dengan baik dan cuba meraih keputusan yang positif," kata Najmi Farizal Jazlan pula.

"Kami telah membuat perancangan untuk mengelak daripada memberikan pukulan sudut penalti dan membuat asakan dengan lebih cermat," kata Izad Hakimi Jamaluddin.

Situasi ini melegakan pengendali negara yang berharap anak buahnya tidak terlalu menghormati gergasi dunia itu.

"Sebagai pasukan nombor satu, Argentina memiliki tekanan yang lebih tinggi. Kami pula yang dilabel sebagai "underdog" perlu mempamerkan persembahan yang terbaik," kata pengendali negara, Stephen Van Huizen.