Lebih 50 penggemar sukan gusti lengan menyertai Kejohanan Gusti Lengan Piala Datuk Balbir Arjan Ramday di Lundouz Karaoke Lounge and Bar di Towering, Penampang, bermula Sabtu lalu.

Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Joly's Team dan Lundouz Karaoke Lounge and Bar itu turut mendapat sokongan daripada Persatuan Gusti Lengan Sabah (SAWA) dengan ianya turut dikenali sebagai Kejohanan Liga Gusti Lengan Sabah 2017.

Liga berkenaan mempertandingkan tiga kategori iaitu 75kg dan ke bawah, 75kg dan ke atas serta kategori amatur (berat bebas).

Ianya akan diteruskan pada setiap Sabtu pada bulan September (16, 23, dan 30 September) sebelum acara kemuncak iaitu minggu terakhir pada 7 Oktober depan.

Peserta yang berada di kedudukan empat teratas bagi kategori 75kg ke bawah dan ke atas masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1500, RM1000, RM500 dan RM300.

Sementara itu, juara bagi kategori amatur akan membawa pulang hadiah wang tunai RM500 manakala tempat kedua, ketiga, dan keempat masing-masing bakal memenangi hadiah RM300, RM200, dan RM100.

Selain itu, empat pemenang bagi setiap kategori juga akan turut membawa trofi.

Terdahulu, Presiden SAWA ketika berucap pada majlis perasmian kejohanan itu, berkata usaha yang dilakukan pihak penganjur adalah salah satu cara bagi mereka mempromosikan sukan itu dalam kalangan orang awam.

"Gusti lengan adalah salah satu sukan yang boleh dikategorikan sebagai sukan ekstrem dan kami akan berusaha bagi menjadikan sukan itu popular.

"Sukan ini juga salah satu aktiviti sihat yang mampu membendung aktiviti sosial yang kurat sihat terutama di kalangan belia," katanya.