Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, memutuskan tiada lagi sesi latihan jam 3.30 pagi buat anak buahnya bermula minggu depan menjelang kempen separuh akir Liga Dunia di Belgium dari 21 Jun hingga 2 Julai depan.

Selepas hampir seminggu skuad negara mengharungi sesi latihan pada jam 3.30 pagi, Dhaarma tidak menolak anak buahnya berdepan keletihan akibat tidak mendapat rehat yang mencukupi.

Justeru, latihan akan ditukar kepada satu sesi sahaja, iaitu selama empat jam bermula 8 malam di mana ia tidak terlalu memaksa pemain memendekkan waktu rehat pada bulan Ramadan.

Bagi Dhaarma, tahap kecergasan harus dijaga sebaik mungkin menjelang kejohanan itu dan ternyata berlatih seawal 3.30 pagi mampu menjejaskan fizikal dan mental pemain.

"Sebelum ini, kami berlatih di dua stadium yang berlainan dalam dua sesi berbeza.

"Kami banyak menghabiskan masa dalam perjalanan lalu membuatkan pemain keletihan.

"Itu bukan tujuan utama kami. Saya tidak mahu pemain keletihan dalam keadaan yang tidak sepatutnya," ujarnya.

Meskipun pasukan bimbingan Dhaarma menang 2-1 dalam aksi persahabatan menentang skuad pembangunan negara, semalam, dia enggan anak buahnya terlalu mengejar keputusan, sebaliknya menjadikan aksi itu medan penilaian untuk mereka memperbaiki kelemahan yang ada.

"Saya tidak berapa kisah sangat tentang keputusan perlawanan.

"Kami bermain untuk cuba mempraktikkan pendekatan kami.

"Kami cuba bertahan secara berpasukan sebelum membuat serangan balas."