Pemain pertahanan hoki wanita, Juliani Muhammad Din, tidak kekok dengan gelaran Malaysia sebagai pasukan underdog dalam aksi separuh akhir Liga Dunia Wanita kerana ingin sampai ke kemuncak -- layak beraksi di pentas Piala Dunia, tahun depan.

Ketika ramai yang tidak yakin dengan kemampuan skuad wanita di Belgium nanti, Juliani terus bersikap rasional.

Walaupun sudah menginjak usia 32 tahun dan berkecimpung dalam skuad hoki sejak 13 tahun lalu, Juliani masih belum memikirkan soal persaraan selagi sasaran ke Piala Dunia belum terlaksana.

Ketika skuad kebangsaan sudah sampai sehingga tahap separuh akhir, tidak relevan untuk mereka untuk tunduk dengan situasi hanya berpandukan kelebihan di atas kertas semata-mata.

Tegas Juliani, dia mahu beraksi di pentas Piala Dunia tetapi dengan syarat mereka perlu memastikan sekurang-kurangnya satu kemenangan di Belgium nanti.

"Belum lagi (terfikir untuk bersara).

"Keinginan saya adalah untuk beraksi dalam Piala Dunia.

"Jika kami berpeluang dan mengharungi kempen di Belgium dengan baik, saya akan terus beraksi.

"Hoki bukan hobi, malah ia sebahagian daripada hidup saya," katanya.

Menurutnya lagi, kredibiliti Malaysia sememangnya tidak setanding dengan pasukan lain, namun bekalan semangat yang dibawa ke Belgium melebihi semangat pasukan lain di mana sejarah baru adalah sasaran utama skuad negara, kali ini.

"Jurang kami dengan pasukan lain memang jauh tetapi ia tidak mustahil.

"Siapa yang berusaha lebih keras dan menjaringkan gol, dialah pemenangnya."