Impian menyaksikan skuad hoki negara mencatat rekod kemenangan terbesar dalam sejarah mungkin tidak kesampaian apabila jurulatihnya, Stephen Van Huizen, mahu memberi peluang kepada pemain muda untuk berdepan Fiji dalam aksi terakhir Kumpulan A, pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh, pagi esok.

Dua kemenangan berturut-turut menyaksikan Malaysia kini menghuni takhta kumpulan itu dan ia memberi peluang kepada Van Huizen untuk merehatkan beberapa pemain utama bagi berdepan skuad belasahan itu.

"Ia adalah perlawanan lain untuk mendapatkan tiga mata lagi bagi menamatkan saingan di tangga teratas liga," katanya. "Kami akan menukar pemain. Kami mungkin memberi peluang kepada penjaga gol. Kami mempunyai cukup pemain untuk membuat pertukaran."

Rekod kemenangan terbesar Malaysia adalah 19-0 yang diraih ketika membelasah Oman dalam Piala Asia 1993 di Jepun.

Malaysia turut pernah meraih kemenangan besar dalam pusingan kedua Liga Hoki Dunia 2015 di Singapura dengan membelasah tuan rumah, 16-1, dalam saingan peringkat kumpulan.

Pemain negara akur dengan arahan Van Huizen sekalipun penyerang utama kian mendapat rentak selepas dua kemenangan berturut-turut.

"Ia keputusan yang baik dan positif yang saya rasa memberi sedikit tenaga kepada pemain untuk berhadapan dalam peringkat suku akhir dengan menentang pasukan yang kami akan hadapi. Saya setuju dengan keputusan jurulatih itu," kata kapten skuad negara, Sukri Mutalib.

"Kami hanya mahu mendapatkan rentak dalam serangan, sebab kami sudah lama tidak berlatih bersama. Bahagian serangan perlu berbincang dan menterjemahkannya di dalam perlawanan," kata penyerang, Shahril Saabah.

Kemenangan dalam dua perlawanan menentang Oman (6-1) dan Bangladesh (3-0) menjamin kedudukan skuad hoki negara ke peringkat seterusnya.