Skuad hoki negara mencipta rekod kemenangan terbesar dalam pusingan kedua Liga Dunia apabila membelasah Fiji 11-1, dengan pengendali negara, Stephen Van Huizen, lega apabila tiada seorang pun anak buahnya cedera ketika menuju aksi suku akhir di Dhaka, Bangladesh, Khamis ini.

The Malaysian Hockey Tigers membuktikan reputasi selaku pilihan utama kejohanan dalam perlawanan itu yang menyaksikan Shahril Saabah menyumbang empat gol, sementara pemain tengah, Fitri Saari, mencetak tiga gol dan gol selebihnya dijaringkan oleh Rashid Baharom (dua gol) dan masing-masing satu oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil serta Muhammad Razie Abd Rahim.

Apa yang lebih penting, kejayaan untuk muncul juara Kumpulan A dicapai tanpa sebarang kecederaan.

"Kami mahu memastikan tiada pemain yang ditimpa kecederaan dan semua pemain mendapat peluang beraksi supaya kami lebih cergas berbanding pasukan lain.

"Ini memandangkan pasukan lawan lebih kerap menurunkan pemain utama dalam setiap perlawanan.

"Objektif kami adalah untuk mengakhiri saingan peringkat kumpulan ini tanpa sebarang kecederaan.

"Bagi saya, itu penting.

"Kalau kami dapat menjaringkan gol, itu bagus untuk meningkatkan keyakinan kami, tetapi memburu (bilangan) gol bukanlah matlamat kami," katanya.

Dalam aksi di Stadium Hoki Maulana Bhasani itu, Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia, meledak lima gol dalam suku pertama.

Suku berikutnya, Malaysia menambah tiga lagi gol sebelum Van Huizen merehatkan pemain utama seperti Razie, Fitri, Shahril dan Tengku Ahmad Tajuddin.

Percaturan itu menyaksikan tiada gol dihasilkan dalam babak berikutnya dan Malaysia mula meningkatkan serangan untuk menambah tiga lagi gol dalam suku keempat sebelum mengakhiri perlawanan.

"Saya berpuas hati dengan persembahan sendiri hari ini kerana dapat memberikan aksi terbaik.

"Rakan sepasukan juga banyak membantu," ujar Fitri.

Kapten Fiji, Hector Smith Junior, bersikap terbuka mengenai keampuhan barisan Malaysia dengan menawarkan pandangannya, "Kami sangat menghargai tahap kemahiran dalam perlawanan ini kerana ia boleh membantu kami untuk memperbaiki permainan kami.

"Ini juga boleh menjadi medan untuk pemain muda Fiji menimba pengalaman," tambahnya.