Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, memuji prestasi pemain muda
negara di sebalik Malaysia gagal mempamerkan aksi terbaik ketika menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi pembukaan pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh, hari ini.

"Gol ketiga membabitkan gandingan dua pemain muda dari posisi garisan tepi -- hantaran Joel van Huizen yang disudahkan Nik Mohd Aiman Nik Rozemi -- pastinya menyuntik keyakinan buat mereka.

"Gol Marhan Abd Jalil pula disudahkan dengan baik manakala gol oleh Muhammad Razie Abd Rahim hasil pukulan sudut penalti pula penting apabila kami berdepan perlawanan getir (selepas ini)," katanya.

Ketiadaan beberapa tonggak utama jelas memberi kesan terhadap prestasi The Malaysian Hockey Tigers.

Walaupun menang, Stephen tidak berpuas hati kerana mengharapkan aksi lebih baik di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhasani itu.

Cuma apa yang yang melegakan, peningkatan pemain muda yang tidak gentar ketika melancarkan serangan ke kubu tuan rumah.

Malaysia berada di depan seawal minit kelima menerusi pemain tengah, Marhan.

Pemain pertahanan negara, Razie, kemudian melebarkan kedudukan pada minit ke-19, sebelum penyerang muda, Nik Mohd Aiman, melengkapkan kemenangan Malaysia pada minit ke-54.

"Dalam perlawanan hari ini, kami perlu mendapatkan kombinasi, menguji padang dan beraksi baik.
:
"Kami berjaya memperbaiki permainan dalam setiap suku dari segi struktur dan corak permainan kami," kata ketua pasukan negara, Sukri Mutalib.

Kapten Bangladesh, Rashel Mahmud, menawarkan padangannya: "Malaysia sebuah pasukan mantap. Kami telah mencuba sedaya-upaya dan kami terlepas banyak peluang dan pukulan sudut penalti.

"Kalau kami berjaya memanfaatkannya, keputusan ini mungkin berakhir seri.

"Apapun, kami akan memandang kepada cabaran seterusnya dan untuk perlawanan akan datang, kami mempunyai perancangan," tambahnya.