Insiden keganasan di London, England, tidak menjejaskan tumpuan skuad hoki negara untuk memberi cabaran dalam separuh akhir Liga Dunia.

Penjaga gol, S. Kumar, berkata The Malaysia Hockey Tigers tidak sabar memburu tiket Piala Dunia 2018.

Mereka mengetepikan semua gangguan demi mencabar separuh akhir Liga Dunia yang bermula 15 Jun ini dengan sasaran sekurang-kurangnya ke suku akhir.

Justeru, semua pemain perlu fokus terhadap tugas mereka kerana Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sudah memberi jaminan soal keselamatan di Lee Valley Hockey, Olimpik Park, London.

"Saya sudah dapat menghidu perkara ini akan terjadi dan baru-baru ini ia terbukti berlaku.

"Semuanya bergantung kepada pihak keselamatan di London untuk memastikan keselamatan kami.

"Kalau berlakunya serangan, memang bahaya untuk kami," katanya.

Dalam tempoh dua minggu, England digegarkan dengan dua insiden keganasan di mana puluhan orang awam terkorban hingga mengundang kebimbangan negara yang bertanding.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sudah menghantar emel kepada FIH agar aspek keselamatan diutamakan dan jika keadaan tidak terkawal, Malaysia akan membatalkan penyertaan.

"Kami pernah mengharungi kejohanan di banyak tempat seperti India, Pakistan dan Bangladesh (yang terdedah kepada ancaman).

"Tetapi, di London pasti lebih selamat.

"Ia tidak begitu mengganggu persiapan kami dan fokus kami adalah misi melayakkan diri ke Piala Dunia 2018."