Penyerang hoki negara, Shahril Saabah, membuktikan dia sudah mencapai prestasi terbaik apabila muncul pendahulu jaringan dalam kempen pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh, setakat ini dengan lima gol.

Dia membuktikan kualiti sentuhan pemusnahnya apabila merobek gawang Fiji sebanyak empat kali dalam kemenangan 11-1, hari ini.

"Dalam perlawanan ini, kami beraksi bagus dengan barisan hadapan sudah pun mendapat kombinasi yang baik.

"Di peringkat suku akhir nanti, barisan serangan perlu beraksi lebih baik lagi.

"Justeru, perlawanan hari ini sangat bagus kerana kami dapat menjaringkan gol yang banyak," katanya.

Bagaimanapun, Shahril enggan memikirkan status selaku penjaring terbanyak kejohanan kerana matlamat utamanya adalah kejayaan pasukan.

"Saya tidak fikir untuk muncul penjaring terbanyak.

"Saya lebih memikirkan aksi di peringkat separuh akhir nanti mengenai lawan yang akan kami hadapi.

"Dari situ, kami akan tahu pasukan mana yang lebih baik nanti."

Sebelum menjejak kaki ke saingan separuh akhir, The Malaysian Hockey Tigers perlu melepasi halangan Sri Lanka terlebih dahulu pada Khamis nanti.

"Kami belum tahu corak permainan Sri Lanka yang akan kami jumpa dalam suku akhir, mungkin kami berpeluang menonton aksi mereka hari ini," tambahnya.