Kemenangan besar peringkat kumpulan tidak meyakinkan kapten hoki negara, Sukri Mutalib, kerana mereka belum berdepan pencabar sebenar sepanjang pusingan kedua Liga Dunia.

Kejayaan membelasah Fiji 11-1 untuk mencipta rekod kemenangan terbesar di Dhaka, bakal menjadi tunjang persiapan mereka berdepan Sri Lanka dalam suku akhir, esok.

Setakat ini, The Malaysian Hockey Tigers menentang lawan yang dianggap divisyen ketiga, sekali gus menang dengan jumlah jaringan besar.

Sukri yakin Malaysia tidak berdepan masalah menumbangkan Sri Lanka selepas pasukan di ranking ke-41 dunia itu tewas semua perlawanan untuk menghuni tangga tercorot Kumpulan B.

"Kami memiliki kombinasi yang baik tetapi apa yang merisaukan ialah kekurangan saingan dalam perlawanan peringkat kumpulan. Saya berharap kami dapat bermain dengan baik berdepan Sri Lanka nanti," katanya.

Sukri menyifkatkan ujian sebenar menanti Malaysia dalam separuh akhir apabila dijangka berdepan Mesir, pasukan di ranking nombor 20 dunia.

Berdasarkan prestasi semasa dan jurang besar ranking dunia, Malaysia boleh menganggap aksi menentang Sri Lanka sebagai pemanas badan sebelum ujian sebenar tiba.

Dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir Liga Dunia sementara pasukan tangga ketiga perlu menunggu keputusan kejohanan lain untuk meneruskan kemaraan.