MALAYSIA 5 MESIR 0

"Saya terkejut". Itu komen ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, selepas anak buahnya membelasah Mesir 5-0 untuk layak ke final pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh, petang tadi.


Kejayaan itu bermakna Malaysia layak secara automatik ke separuh akhir Liga Dunia, Jun depan.

Kegembiraan terpancar di wajah Stephen sepanjang aksi di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhasani.

Faktor kejayaan The Malaysian Hockey Speedy Tigers hadir selepas semua pemain mengikut arahan yang diberikan selain pukulan sudut penalti yang menjadi.

Lebih manis, kejayaan itu melegakan kem negara untuk mencapai sasaran utama layak ke separuh akhir Liga Dunia, sama ada di England atau Afrika Selatan.

"Pujian kepada pemain-pemain kerana beraksi baik dan pada hari ini, mereka begitu bermotivasi dan fokus.

"Malah, selepas mendahului 3-0 dalam separuh masa, mereka tetap meneruskan fokus dalam suku ketiga.

"Mereka langsung tidak memberi Mesir sebarang peluang untuk bangkit.

"Selepas menjaringkan gol keempat dan kelima, saya berasakan perlawanan sudah pun berakhir.

"Faktor kemenangan ini adalah mengenai fokus dalam melaksanakan tugasan," katanya.

Malaysia yang merupakan pilihan utama kejohanan terpaksa menunggu sehingga minit ke-15 untuk Muhammad Razie Abd Rahim meledak gol pembukaan menerusi pukulan sudut penalti.

Pemain tengah, Fitri Saari, kemudian melebarkan kedudukan 10 minit kemudian sebelum penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, menambah derita Mesir.

Selepas rehat, Mesir meningkatkan serangan dalam memburu gol pertama, namun ia memberi ruang buat penyerang negara, Shahril Saabah, meledak gol keempat pada minit ke-44.

Dalam suku terakhir, penyerang muda, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, mengesahkan kemenangan Malaysia menerusi gol cantik.

"Pujian buat barisan kejurulatihan kerana telah menyediakan rakaman perlawanan yang sangat membantu.

"Ia kerja rumah yang sangat baik dan apabila kami mengikut arahan, kami dapat bermain dengan baik," kata kapten negara, Sukri Mutalib.

Usaha Nadi Arena untuk mendapatkan komen daripada kem Mesir gagal apabila mereka bergegas pulang ke hotel penginapan.