"Kami pasti ke Piala Dunia." Itu keyakinan pemain pertahanan hoki negara, Muhammad Razie Abd Rahim, selepas menamatkan aksi persahabatan di tanah air dengan kemenangan 1-0 ke atas skuad pembangunan sebelum berlepas ke separuh akhir Liga Dunia di London, England, 7 Jun ini.

Razie dan penyerang, Firhan Ashaari, direhatkan ketika Malaysia menewaskan skuad pembangunan buat kali kedua di Stadium Hoki Tun Razak, semalam.

Mereka direhatkan kerana mengalami kekejangan otot.

Ketiadaan mereka menyaksikan The Malaysia Hockey Tigers lambat panas, namun tetap berjaya mengekalkan rentak kemenangan.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-34.

"Persembahan pasukan negara semakin meningkat dan tampak sudah bersedia untuk mengharungi Liga Dunia.

"Kami memiliki keyakinan untuk ke Piala Dunia," katanya.

18 pemain terbaik dipilih dan untuk itu, hanya perubahan kecil dilakukan ketika Malaysia meraih tangga kelima Piala Sultan Azlan Shah, tiga minggu lalu.

"Pilihan jurulatih merupakan skuad terbaik.

"Sesiapa pun yang terpilih pasti akan berjuang habis-habisan untuk negara dalam merealisasi misi ke Piala Dunia," kata Syed Mohd Syafiq Syed Cholan biarpun dia gagal mendapat tempat.

Selepas ini, Malaysia akan menghadapi Kanada, skuad pembangunan Great Britain dan Wales dalam aksi persahabatan di London sebelum memulakan kempen berdepan pasukan di ranking pertama dunia, Argentina.

"Saya sudah memberikan aksi terbaik susulan terlepas kempen Piala Sultan Azlan Shah.

"Saya sudah dapat tempo permainan dan berharap dapat dipertingkatkan lagi kerana di London nanti, tempo permainan lebih laju," kata pemain pertahanan negara, Izzad Hakimi.