Penjaga gol hoki negara, Mohd Hafizuddin Othman, menjadi taruhan jika separuh akhir pusingan kedua Liga Dunia di antara Malaysia dan Mesir, esok, terpaksa ditentukan menerusi penentuan pukulan penalti.

The Malaysian Hockey Tigers sedia menghadapi apa jua kemungkinan termasuk jika perlawanan diheret ke situasi itu.

Hafizuddin dijangka menggalas tugas sebagai benteng terakhir walaupun dia tidak pernah menghadapi gerakan itu di pentas antarabangsa.

"Saya sudah bersedia untuk menghadapi penentuan pukulan penalti kerana telah menjalaninya dalam setiap sesi latihan.

"Kalau berdepan situasi itu esok, mungkin saya boleh bantu pasukan," ujar Hafizuddin.

Malaysia selaku pilihan utama kejohanan mara ke separuh akhir selepas menumbangkan Sri Lanka 5-2.

Sementara itu, Mesir menyingkirkan tuan rumah, Bangladesh 5-1.

Anak buah Stephen Van Huizen diramal mampu mencapai kejayaan dalam tempoh 60 minit perlawanan berdasarkan ketajaman kelima-lima penyerang negara yang sudah mencetak gol di Stadium Hoki Nsional Maulana Bashani.

"Saya yakin kami boleh menang dalam tempoh 60 minit permainan.

"Peluang yang ada perlu disudahkan, itu kunci utama permainan kami hari ini," kata pemain tengah negara, Fitri Saari.

Bagi Van Huizen, Hafizuddin sudah dipersiapkan lebih wal untuk menghadapi penentuan tersebut, apa yang dibimbanginya adalah memilih pemain yang tepat untuk menembusi gawang lawan pula.

"Kami harap dapat menghabiskan aksi dalam tempoh sebenar permainan.

"Apa pun, kita tidak akan tahu apa akan terjadi. Kalau diheret ke penentuan pukulan penalti, kami sudah bersedia.

"Kami telah melakukan persiapan penentuan pukulan penalti hampir setiap hari dan dalam setiap sesi di sini.

"Apa yang lebih penting, kami dapat memilih lima pemain yang akan menggalas tugas itu nanti.

"Saya harap kami tidak perlu melaluinya, tapi kalau terpaksa maka kami perlu bersedia," tambahnya.