Gelaran juara pusingan kedua Liga Dunia cukup bermakna buat penyerang hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, yang kembali ke pangkuan skuad kebangsaan selepas direhatkan selama 18 bulan.

Kejayaan ini dilihat sebagai titik kebangkitan penting buat Tengku Ahmad Tajuddin.

Penyerang Terengganu Hockey Team (THT) ini hampir melupakan pentas antarabangsa selepas diketepikan ekoran pergolakan dalaman pasukan pada 2015.

Namun, dia membuktikan dalam dua edisi Liga Hoki Malaysia bahawa dia masih antara penyerang terbaik negara dan akhirnya dibawa ke Dhaka.

"Ini merupakan satu kejayaan yang sangat baik buat pasukan dan secara peribadi buat saya," kata Tengku Ahmad Tajuddin.

"Saya sangat teruja dengan kemenangan ini selepas direhatkan selama 18 bulan daripada menyertai skuad kebangsaan."

Tengku Ahmad Tajuddin berjaya menjaringkan lima gol, berkongsi pencapaian sama dengan penyerang muda, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi.

Penggempur kelahiran Perlis ini memiliki peluang yang cerah untuk dipilih beraksi dalam Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bulan depan dengan Malaysia akan menghadapi pasukan hebat, termasuk juara dunia, Australia.