Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou, mengharapkan pendedahan lebih meluas dapat diberikan kepada golongan kurang upaya dalam menarik minat mereka dalam bidang sukan sambil menyeru agar golongan sepertinya tidak mudah patah semangat.

Liek Hou mengalami kurang upaya pada tangan kanannya, di mana salah satu otot di bahagian tersebut tidak dapat bertindak dengan sepenuhnya, namun ia bukan penghalang buat atlet berusia 30 tahun itu apabila meraih 11 kejuaraan dalam kariernya.

Dia yang beraksi dalam kategori SU5 (kecacatan tangan) berpendapat sekiranya lebih pendedahan diberikan, ia mampu menyuntik motivasi serta semangat buat atlet-atlet lain untuk terus mempamerkan aksi cemerlang.

"Saya mengharapkan pihak kerajaan akan memberikan lebih pendedahan kepada sukan para, khususnya badminton.

"Saya tidak nafikan, kadangkala ada segelintir rakan sepasukan yang hampir mengalah ketika sesi latihan kerana tidak selesa dan tidak dapat fokus, membuatkan mereka menjadi sedih," kata Liek Hou.

"Bagi golongan kurang upaya di luar sana, mereka tidak perlu berasa segan untuk bersukan. Tidak semestinya harus menyertai sesebuah pertandingan, sebaliknya mulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu dan kemudian baru fikirkan sebarang peluang jika berpotensi untuk ke depan."

Bagi jurulatih skuad badminton para negara, Abdul Rani Jaafar, dia mengakui bahawa tugas seorang pemain badminton para bukan sesuatu yang mudah kerana mereka tampil daripada kisah yang berbeza.

"Bukan senang untuk pemain badminton para terus menyesuaikan diri kerana mereka bukan dilahirkan untuk terus mampu bermain.

"Ada antara mereka yang lahir semulajadi, namun ada juga yang disebabkan oleh kecederaan ketika kemalangan," ujar Rani.