Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, bangga apabila mencipta sejarah baru sebagai peserta pertama memenangi pingat emas dalam acara badminton Sukan Paralimpik.

Acara badminton buat julung-julung kalinya dipertandingkan dalam edisi di Tokyo kali ini dan Liek Hou muncul pemenang pingat emas pertama selepas menewaskan wakil Indonesia, Dheva Anrimusthi, 21-17, 21-15.

"Pingat emas ini amat istimewa kerana saya telah mencipta sejarah buat diri saya dan negara Malaysia. Saya merupakan individu pertama memenangi pingat emas sukan badminton (dalam Sukan Paralimpik)," katanya yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan ditemani jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek, hari ini.

Bercakap mengenai caranya menewaskan pemain nombor satu dunia dari Indonesia itu, Liek Hou berasakan faktor pengalaman memainkan peranan penting dalam membantunya menyerap tekanan.

"Mungkin kelebihan saya adalah pengalaman kerana saya lebih banyak pengalaman dalam kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia.

"Mungkin dia tewas kepada saya kerana dia menghadapi tekanan sewaktu kejohanan besar seperti ini," katanya lagi.