MBPJ TIGERS 2 SSTMI THUNDERBOLT 4

SSTMI Thunderbolt mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2019 selepas menewaskan MBPJ Tigers 4-2 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, hari ini.


SSTMI turun dengan reputasi besar untuk menumbangkan tuan rumah, Tigers.

Aspirasi itu diterjemahkan menerusi gol seawal minit kesembilan menerusi Che Nur Aqirullah Che Mohd Khairuzi.

Selang beberapa minit, Mohd Shamir Rizmi Mohd Shamsul terus meletakkan pelawat selesa mendahului 2-0.

Dalam suku kedua, Tigers mula menyusun strategi dan berpunca daripada pukulan sudut penalti, Muhammad Zulfitri Md. Zin merapatkan kedudukan kepada 2-1.

SSTMI memberikan reaksi balas apabila Muhammad Abid Sufian meledakkan gol ketiga pada minit ke-22.

Namun, Tigers tidak mudah berpatah semangat apabila Muhammad Alif Salehin merapatkan jurang kepada 3-2 dalam suku ketiga.

Bagaimanapun, SSTMI mematikan perjuangan itu menerusi jaringan Muhammad Muhibudin Moharam pada minit ke-83.

"Alhamdulillah, pemain kami cukup bersedia dan walaupun mereka (Tigers) cuba bangkit, kami masih dapat bertahan.

"Pemain kami telah berusaha keras untuk mendapatkan tiga mata hari ini," kata jurulatih SSTMI, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman.

"Sepatutnya keputusan perlawanan ini paling-paling tidak sekalipun akan berakhir seri.

"Kami gagal mengambil peluang yang dicipta, jadi kami perlu menerima keputusan ini," kata jurulatih Tigers, Mohd Harfizi Baharom, pula.