SSBJ THUNDERBOLT 2 MSNT 2

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menyekat kemenangan keempat SSBJ Thunderbolt dalam Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) apabila terikat 2-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.


Kedua-dua pasukan dihadiahkan pukulan sudut penalti pada awal permainan, namun masing-masing gagal menyempurnakannya untuk suku pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.

Kedudukan berubah dalam suku kedua apabila Wan Mohd Ikram Wan Mohd Tarmizi membuka jaringan buat MSNT pada minit ke-23.

Selang beberapa minit, kedudukan itu sekali lagi berubah apabila Muhd Danish Aiman Khairil Anuar meledak gol penyamaan SSBJ untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Memasuki suku ketiga, SSBJ menggandakan asakan untuk Mohd Faris Khamis memanfaatkan peluang membolosi gawang MSNT pada minit ke-33.

Pasukan dari Terengganu itu, bagaimanapun, kembali mengikat kedudukan dalam suku keempat menerusi Wan Ahmad Akif Salihin Wan Manzrul bagi menyekat kemenangan keempat SSBJ.