THT 2 TNB 3

Hasrat Pasukan Hoki Terengganu (THT) merampas tangga teratas Liga Hoki Malaysia (LHM) tidak kesampaian apabila mereka tumpas 2-3 kepada pendahulu liga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Terengganu, petang tadi.


Kepantasan TNB berjaya memerangkap tuan rumah dengan gerakan solo Firhan Ashaari dari sebelah kiri yang disudahkan Muhammad Noor Firdaus Rosdi pada minit keenam.

Kedudukan berubah pada minit ke-19 selepas Jung Man-jie menyambar pukulan sudut penalti Jang Jong-hyun dan menyamakan kedudukan 1-1 buat THT.

TNB terus mengejutkan kem tuan rumah pada minit ke-31 dengan pukulan kencang Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang menerjah jaring.

Memasuki suku keempat, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum Jong-hyun menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-49.

Shello Silverius muncul wira TNB selepas memanfaatkan situasi kucar-kacir di depan pintu gol tuan rumah pada minit ke-59, sekali gus memberikan kemenangan 3-2 buat pasukannya.

"Walaupun mendominasi permainan, kami dihukum dengan kesilapan mudah ketika bola berada di kawasan berbahaya.

"Secara realistik, saya optimis THT masih mampu mengejar TNB dan kami tiada pilihan selain menang baki perlawanan selepas ini," kata pengendali THT, I. Vikneswaran.