Terengganu Hockey Team (THT) mempamerkan kebangkitan dramatik sebelum menumbangkan UiTM 5-3 di tempat lawan untuk meneruskan tekanan dalam perebutan juara Liga Hoki Malaysia (LHM), sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Hoki Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu, THT enggan terus keciciran mata selepas aksi terakhir 27 Januari lalu menyaksikan mereka tumpas 1-3 di tangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

UiTM pula terpaksa melupakan khidmat pemain import Jepun, Fukuda Kentaro, yang terpaksa pulang untuk menyertai kem latihan kebangsaan.

Aksi sengit ditampilkan dan pelawat terlebih dahulu meledak hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jang Jong Hyun pada minit ke-15.

Bersambung aksi dalam suku kedua, UiTM melancarkan serangan bertali arus dan memperoleh gol penyamaan selepas Mohd Azwar Rahman tangkas untuk menyambar peluang pada minit ke-27.

Namun, THT kembali di depan apabila Jong Hyun sekali lagi meledak menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-34.

Ketinggalan kali kedua, UiTM tetap mempamerkan aksi melawan dengan dua gol dalam tempoh tiga minit hasil jaringan Mor Azrul Abd Rahman dan Mohd Azwar Abd Rahman bagi menjadikan kedudukan 3-2 tetapi THT jelas berada dalam kelas tersendiri untuk melakar kebangkitan dramatik dalam suku keempat.

Tiga gol berjaya dihasilkan menerusi Jong Hyun yang meledak gol ketiga peribadi, disusuli dengan ledakan Muhammad Rashid Baharom dan Jung Manjae untuk menoktahkan kemenangan 5-3.

"Mungkin di awal permainan, kami tidak menyesuaikan diri dengan padang. Namun, ia diperbaiki dalam suku ketiga," kata kapten THT, Fitri Saari.

"Saya rasa, setakat ini, apa yang penting adalah meraih tiga mata dan mengekalkan tekanan untuk mengejar tangga teratas liga. Itu yang penting buat masa ini," tambah ketua jurulatih THT, I. Vickneswaran.

Sementara itu, kombinasi pemain import dan tempatan membolehkan UniKL merampas takhta liga setelah membelasah Maybank 5-1 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi petang tadi.

Kapten pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil, meletakkan UniKL di depan pada minit ke-11 sebelum pertahananan, Martijn Peter Havenga, meledakkan dua gol pada minit ke-28 dan ke-39 sambil dua lagi jaringan disudahkan oleh Izwan Firdaus Ahmad (m-52) dan Robert Kemperman tatkala gol sagu hati Maybank disumbangkan Hafifihafiz Hanafi (m-17).

"Ia satu kemenangan penting walaupun melalui permulaan sukar. Kami berupaya menyumbat gol dalam babak pertama, sekali gus menjadikan tugas lebih mudah dalam suku seterusnya," ujar Havenga.

"Suku pertama dan kedua menyaksikan anak-anak buah saya bermain dengan baik tetapi dalam 15 minit terakhir tampak begitu sukar buat kami," tambah ketua jurulatih Maybank, Azrul Affendy Bistaman.

UniKL kini mendahului carta liga dengan 16 mata, diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kedudukan kedua dengan 15 mata sambil THT di tangga ketiga dengan 13 mata.