MAYBANK 3 UiTM 0

Maybank terus mengejar pasukan kelompok atasan liga selepas mengatasi UiTM 3-0 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.


Maybank turun dengan misi meraih tiga mata bagi membolehkan mereka terus bersaing merebut kejuaraan liga manakala UiTM turut dahagakan kemenangan selepas tewas dalam tiga aksi sebelum ini.

Maybank bermula garang apabila membuka tirai jaringan dalam suku pertama menerusi ketua pasukan, Hafifihafiz Hanafi, yang menyudahkan kesempatan hasil pukulan sudut penalti.

Haziq Shamsul kemudian terus meletakkan Maybank untuk mendahului 2-0 apabila mudah menolak masuk gerakan pukulan sudut penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol, Adi Fazri Abdul Rahim.

UiTM cuba bangkit tetapi gagal untuk menyekat kemenangan Maybank yang melakar gol ketiga, juga menerusi sentuhan Hafifihafiz untuk menutup saingan dengan keputusan selesa 3-0.