Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) merampas kedudukan teratas Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia selepas menewaskan SSTMI 5-1 di Stadium Hoki SSTMI, hari ini.

Kejayaan KLHC itu juga dibantu dengan kegagalan Terengganu Hockey Team (THT) untuk meraih tiga mata penuh selepas sekadar seri 2-2 dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Dengan kemenangan itu, KLHC kini mengumpul 29 mata berbanding THT di tangga kedua dengan 27 mata.

Mohd Syamim Mohd Yusof meletakkan KLHC di depan seawal minit kedua hasil jaringan padang sebelum Muhammad Nur Asyraf Ishak menjadikan kedudukan 2-0 pada minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti.

Tonggak import, Anton Poul Fritz Ebeling, terus mengukuhkan kedudukan KLHC dengan gol ketiga hasil jaringan padang pada minit ke-23.

Namun, SSTMI merapatkan jurang menerusi Muhammad Luqman Hakim Mohd Asri pada minit ke-43.

KLHC menambah dua gol lagi selepas itu menerusi Syamim serta Muhammad Haziq Samsul masing-masing pada minit ke-50 dan 59.

Di Stadium Hoki Pantai, ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, nyata amat berpuas hati dengan keputusan seri yang diraih barisan pemainnya ke atas THT.

"Setiap pemain saya bermain mengikut apa yang dirancangkan untuk meraih keputusan seri ini.

"Saya rasa penguasaan bola adalah 50-50. Perkara paling penting saya sentiasa ingatkan adalah jangan kerap memberi ruang kepada pihak lawan.

"Penjaga gol saya (Tomas Matias Santiago) juga beraksi dengan sangat cemerlang. Begitu juga dengan ketua pasukan, Marhan Jalil.

"Dia kerap memberi galakan kepada rakan sepasukan lain," katanya.

Tonggak import THT, Jang Jonghyun, meletakkan pasukannya di depan selepas menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-23.

Kedudukan itu, bagaimanapun, tidak bertahan lama selepas Muhammad Toseeq Muhammad Arshad menyamakan kedudukan untuk UniKL menerusi jaringan padang seminit kemudian.

Pemain skuad kebangsaan, Fitri Saari, kembali meletakkan THT di depan hasil jaringan padang pada minit ke-30.

Namun, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-47.