Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, bertindak pantas apabila melangsaikan wang hadiah kemenangan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 berjumlah RM400,000, sehari selepas isu kelewatam membayar wang hadiah kemenangan dilaporkan Nadi Arena.

Tindakan pantas KHM membuktikan komitmen mereka terhadap kelab yang membuat pelaburan besar untuk menyertai LHM 2019.

Badan induk itu menggunakan dana sendiri walaupun masih menunggu pembayaran balik wang tuntutan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) selepas melabur RM600,000 untuk menghantar skuad wanita berlatih di Eropah dan menyertai Kejohanan Hoki Pusingan Akhir Siri FIH 2019.

"Tiada masalah, saya sudah arahkan kepada bendahari supaya menyelesaikan tunggakan itu dengan segera dan pembayarannya sudah dibuat hari ini," katanya.

Tindakan pantas KHM turut mendapat pujian pemerhati.

Ia juga membuktikan komitmen pegawai KHM dalam memastikan skuad lelaki dan wanita layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Pemain-pemain tidak kecoh tentang kelewatan KHM melunaskan wang hadiah kemenangan ini.

"Ini kerana mereka telah menikmati elaun dan gaji," kata pemerhati hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.