Perak mengekalkan rekod tanpa kalah selepas membelasah Felda United 5-2 dalam Liga Futsal Kebangsaan (LFK) di Stadium Panasonic, Shah Alam, hari ini.

Perak terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Mohd Awalludin Mat Nawi pada minit keempat sebelum Muhamad Razin A. Rahim menjarakkan kedudukan kepada 2-0 lima minit kemudian.

Namun, Felda bangkit untuk merapatkan jurang menjadikan kedudukan 2-1 hasil sentuhan Mohd Ridhwan Zainal pada minit ke-19.

Aksi dalam babak kedua pula menyaksikan Felda hanya memerlukan tujuh minit untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan Adam Amzah.

Keghairahan Felda untuk menyerang, bagaimanapun, memakan diri apabila lawan menambah gol ketiga, sekali lagi menerusi Razin.

Malang terus menimpa Felda apabila Ridhwan diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua kerana mengasari lawan.

Kesempatan itu diguna baik barisan pemain Perak dan hasilnya mereka meledak dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Amar Ashraf Abu Bakar (m-39) dan Mohd Ridzwan Bakri (m-40) bagi mengesahkan kejayaan Perak.

"Kami bangkit ketika perlawanan tinggal tiga minit untuk meletakkan kedudukan berpihak kepada kami. Kami bersyukur dapat menyudahkan peluang dengan baik," kata Razin.

Sementara itu, kapten pasukan Felda, Sazaril Azmi Bakri, berkata: "Ketika mahu bangkit daripada ketinggalan 2-0, kami nampak berhempas-pulas dan tertekan.

"Selepas terikat 2-2 pula, kami gagal menyelesaikan peluang, malah pihak lawan menjaringkan gol hasil daripada kesilapan kami."