Juara bertahan Liga Futsal Kebangsaan (LFK), Melaka, akan tampil lebih kuat apabila pengendali, Isah Abd Rahim, mengesahkan pemain sensasi negara, Khairul Effendy Bahrin, akan memperkuatkan pasukannya dalam saingan LFK pertengahan musim ini.

Skuad futsal Melaka kini dibarisi tujuh pemain kebangsaan, antaranya Saiful Nizam Ali, Saiful Aula Ahmad dan penjaga gol, Azrul Hadee Taufiq.

Ternyata Melaka akan terus dilihat selaku pasukan pilihan apabila Khairul Effendy bakal menyertai pasukan pada pertengahan liga.

Ini susulan khidmat pemain kebangsaan itu bersama kelab Indonesia, SKN Kebumen, akan berakhir Mei nanti.

"Pasukan Melaka akan menghadapi Kejohanan Kelab AFF pada Mei nanti, kami dalam proses meminjam Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin.

"Jika dilepaskan, kami akan menyambung khidmatnya dalam saingan LFK," kata Isah.

Dalam aksi hari ini, skuad Melaka mudah menewaskan Kuantan Rangers FC 7-2 dengan dibantu aksi cemerlang pemain negara, Azwaan Ismail, yang meledak dua gol untuk kemenangan ketiga berturut-turut pasukan ini musim ini.

"Untuk mempertahankan kejuaraan bukan mudah.

"Kalau boleh momentum kemenangan itu berterusan.

"Saya harap pemain-pemain Malaysia yang ada bersama pasukan Melaka dapat menunjukkan kehebatan masing-masing untuk kemenangan seterusnya," kata kapten pasukan, Jamaluddin Alias.