Ketua jurulatih skuad ping pong negara, Beh Lee Wei, tidak menolak cadangan untuk mengekalkan atlet yang beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 untuk ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan sekiranya mereka terus konsisten dan mengelak kecederaan saat-saat akhir.

Seramai lapan atlet bakal membawa cabaran ke Sukan Asia di mana pemilihan muktamad masih belum diputuskan oleh Lee Wei.

Namun, beliau memberi bayangan tiada perubahan besar akan berlaku dalam skuad tatkala akan mengekalkan tujuh atlet sedia ada yang telah beraksi di Gold Coast bulan lalu, iaitu Leong Chee Feng, Muhammad Ashraf Haiqal, Javen Choong, Ho Ying, Alice Chang, Tee Ai Xin dan Karen Lyne.

Sekiranya mereka mempamerkan kesungguhan dalam latihan dan bebas kecederaan, tujuh atlet berkenaan akan kekal dan Lee Wei hanya perlu memilih seorang pemain lelaki untuk melengkapkan kuota.

"Persembahan mereka bagus dalam Sukan Komanwel tetapi kami belum membuat pengesahan lagi. Kalau mereka menunjukkan disiplin dan berlatih dengan bagus, memang mereka akan diutamakan," kata Lee Wei.

Perancangan untuk ke luar negara masih belum ditentukan lagi tetapi kini mereka sedang melakukan latihan bersama rakan sepelatih dari Beijing, China selama satu bulan sebagai persiapan awal.

"Mereka membuat latihan bersama dengan pemain China dan ia adalah satu penyusunan yang bagus bagi pemain kita," katanya lagi.