Charles Leclerc percaya kemenangan pertamanya dalam Grand Prix Belgium akan dijadikan sebagai batu loncatan dan Ferrari menyasarkan kemenangan di Monza hujung minggu ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu berada di tahap terbaik berikutan kejayaan yang diraih di Spa dan berharap untuk meneruskan momenum itu dalam GP Itali pula.

Dengan sokongan hebat yang dijangka diberikan kepada Leclerc dan rakan sepasukannya, Sebastian Vettel, Ferarri bakal menampilkan persaingan yang sengit.

"Saya sangat gembira di atas kemenangan pertama di Belgium," kata Leclerc.

"Langkah pertama sentiasa sukar, namun ia membantu mengurangkan tekanan.

"Kami kini sudah berada di Itali dan perlu fokus untuk mendapatkan keputusan yang positif sekali lagi."

Vettel percaya usahanya dengan Leclerc di Spa berhasil dan ia akan dijadikan sebagai pemangkin untuk bersaing dengan Mercedes.

"Kunci utama adalah kami bekerjasama untuk meningkatkan lagi pasukan ini," kata Vettel.

"Sebelum ini, kami tidak memiliki jentera yang mampu memenangi setiap perlumbaan dan kami terus berusaha bagi membaiki mutu persembahan masing-masing dan kejayaan di Spa adalah hasilnya."

Kali terakhir Ferrari melakar kemenangan dalam GP Itali ialah menerusi Fernando Alonso pada 2010 dan Vettel masih lagi beranggapan mereka bukan pilihan untuk muncul juara.

"Kami bukan pilihan dalam perlumbaan ini. Saya berasakan kami perlu lebih berhati-hati dan bersifat realistik. Terdapat beberapa elemen yang diperlukan untuk meraih kemenangan.

"Catatan terpantas (dalam perlumbaan kelayakan) adalah satu perkara tetapi kami perlu menghabiskan 53 pusingan Ahad ini.

"Ditambah pula dengan cuaca pada hari perlumbaan, kami perlu berusaha dengan sebaik mungkin daripada permulaan perlumbaan bagi meningkatkan peluang untuk menang."