Bintang Cleveland Cavaliers, LeBron James, mengatasi Kobe Bryant selaku pemain termuda dalam sejarah NBA untuk mengutip 28,000 mata dalam kariernya ketika membantu melakar kemenangan 111-104 ke atas New York Knicks semalam.

James, yang mengutip 32 mata, melakar pencapaian itu pada usia 32 tahun 36 hari, menewaskan rekod dipegang Kobe pada usia 33 tahun 131 hari.

LeBron ketika ini menduduki tangga kelapan dalam carta penjaring terbanyak NBA dengan 28,020 mata, 576 mata di belakang pemain di tempat ketujuh, Shaquille O'Neil.

Dalam pertembungan semalam, LeBron mengetuai jentera Cavs dengan 32 mata, lima rebound dan 10 assist, diikuti Kevin Love dengan 23 mata dan 16 rebound dan Tristan Thompson 12 mata dan lima rebound.

Meskipun beraksi tanpa kelibat point guard, Kyrie Irving, skuad kendalian Tyron Lue itu tampil efektif di Madison Square Garden.

Sementara itu, kejutan berlaku di Golden 1 Center, California apabila Sacramento Kings menewaskan Golden State Warriors 109-106.

Kings yang menempuh 13 kekalahan berturut-turut sebelum ini, bangkit dengan aksi agresif untuk menafikan kemenangan Warriors yang meneruskan perlawanan tanpa kelibat jurulatih, Steve Kerr, yang diarahkan keluar gelanggang pada suku ketiga.

DeMarcus Cousins menerajui kemenangan Kings dengan 32 mata, 12 rebound dan sembilan assist, diikuti Darren Collison dengan 18 mata, dua rebound dan tiga assist.

Ketika perlawanan berbaki enam saat dalam over time (OT), Warriors mampu melakar kemenangan menerusi bintang, Stephen Curry, namun percubaan lay up pemain itu gagal disudahkan.

Ini merupakan kekalahan kelapan Golden State selepas 51 perlawanan.

Keputusan lain:

DENVER NUGGETS 97-121 SAN ANTONIO SPURS

CHARLOTTE HORNETS 98-105 UTAH JAZZ

MEMPHIS GRIZZLIES 107-99 MINNESOTA TIMBERWOLVES

MILWAUKEE BUCKS 137-112 PHOENIX SUNS