Kapten pasukan bola tampar negara, Sim Jin Quan, mahu memanfaatkan sebaik-baiknya peluang menjalani latihan di Taiwan dari 24 Julai hingga 3 Ogos ini.

Ia menjadi latihan luar negara terakhir skuad itu sebelum menghadapi program fasa akhir Sukan SEA yang dijalankan Majlis Sukan Negara (MSN).

Jin Quan berkata latihan itu perlu dimanfaatkan kerana Taiwan adalah setaraf dengan Thailand yang menjadi pencabar utama skuad negara dalam temasya dwi-tahunan itu.

Jelasnya, pemilihan Taiwan sebagai venue latihan adalah tepat untuk memperbaiki prestasi skuad negara.

"Tahap mereka (Taiwan) sama seperti Thailand. Mereka pernah menewaskan Thailand lebih daripada sekali. Thailand dengan pasukan itu memang musuh.

"Jadi, kami mahu tahu bagaimana mereka bermain, bagaimana mereka boleh bermain dengan Thailand. Kami mahu belajar dengan mereka."

Jin Quan tidak menganggap tekanan yang kian memuncak untuk temasya 19-30 Ogos ini sebagai masalah besar di mana dia percaya ia mampu memberi semangat kepada pasukan untuk berusaha keras demi pingat emas.

"Kalau ada sedikit tekanan untuk kami, ia memang baik," katanya. "Jadi, ia akan menekan kami untuk berlatih dengan lebih baik.

"Kalau tekanan untuk mendapatkan pingat, saya tidak fikir sangat sebab kami kena anggap kami bukan pasukan pilihan. Nanti berlawan kami tidak berasa tertekan."

Acara yang menawarkan dua pingat emas itu mendapat penyertaan lapan negara untuk kategori lelaki dan enam bagi wanita.

Pasukan lelaki Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Kemboja dan Thailand manakala skuad wanita bersaing dengan Filipina dan Vietnam dalam Kumpulan B.

Info Sukan Bola Tampar

Emas ditawarkan: 2
Venue: Dewan MITEC 11, Kuala Lumpur

Bola Tampar (L)
• Kumpulan A : Myanmar, MALAYSIA, Kemboja, Thailand
• Kumpulan B : Filipina, Indonesia, Timor Leste, Vietnam

Bola Tampar (W)
• Kumpulan A : Myanmar, Thailand, Indonesia
• Kumpulan B : Filipina, MALAYSIA, Vietnam