Skuad hoki kebangsaan yakin mereka dapat mengatasi cabaran cuaca ekstrem berdepan lawan di Kanada atau Eropah dalam pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, menerusi bantuan latihan di ‘Altitude and Environmental Chamber’ milik Institut Sukan Negara (ISN).

Tonggak pertahanan negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, percaya latihan menggunakan 'chamber' itu, yang membolehkan seseorang atlet berlatih dalam keadaan altitud berbeza, dapat membantu persiapan pasukannya.

"Kami memang dah mula berlatih dalam Altitude Chamber, yang sangat membantu seperti berada di kawasan bercuaca sejuk dan altitud berbeza. Tempoh latihan dalam Chamber berbeza mengikut pemain.

"Ada pemain yang pernah mengalami kecederaan, mempunyai tempoh latihan yang lebih di dalam ruangan itu.

"Ia kerana mereka berlatih di sana untuk dapatkan balik kecergasan selepas pulih daripada kecederaan sebelum memulakan latihan padang," katanya.

ISN sebelum ini berkata Altitude and Environmental Chamber yang direka khas itu berupaya mengawal karbon dioksida dan oksigen, selain boleh mengubah keadaan cuaca dan suhu serendah -25 darjah Celsius sehingga 55 darjah Celsius, manakala Cryotheraphy Lab atau lebih dikenali sebagai makmal ais pula digunakan untuk merawat kecederaan atlet dengan lebih cepat.

The Malaysian Hockey Tigers akan diundi untuk menentang salah satu daripada pasukan Jerman, Great Britain, Sepanyol, New Zealand atau Kanada dalam undian yang akan diadakan di Lausanne, Switzerland, Isnin depan.

Kecuali New Zealand, negara-negara lain akan mengalami musim sejuk, di mana suhu di Kanada boleh mencecah sehingga lima darjah Celsius ketika pusingan kelayakan itu, yang bermula akhir Oktober sehingga awal November depan.

Pakar pukulan sudut penalti berusia 32 tahun itu juga yakin skuad negara dapat mengatasi mana-mana lawan sekiranya semua ahli pasukan menunjukkan prestasi yang diinginkan oleh ketua jurulatih, Roelant Oltmans, dalam ujian terakhir itu untuk menamatkan kemarau 20 tahun ke Sukan Olimpik -- kali terakhir layak pada edisi 2000.

"Jurulatih Roelant dah kaji apa kelemahan dan kekurangan kami ketika Jelajah Eropah dan kejohanan ujian di Tokyo, Jepun bulan lalu. Bagi saya, ketika di Eropah, kombinasi sesama pemain memang baik.

"Saya tak kisah jumpa pasukan mana, selagi kami sebagai satu pasukan tahu apa yang kami perlu buat ketika perlawanan nanti.

"Saya tak risau mana-mana pasukan yang saya jumpa, saya lebih risau prestasi rakan sepasukan saya," katanya lagi.

-- BERNAMA