Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, tidak sabar untuk kembali beraksi selepas terlepas Terbuka Thailand ekoran kecederaan kaki yang belum pulih sepenuhnya.

Khabar gembira rakan baiknya, Ziyad Zolkefli, berjaya mencecah balingan 17.07 meter dan meraih emas dalam Terbuka Thailand, membuatkan Latif tidak keruan dan ingin melakukan sesuatu untuk memperbaiki catatan semasanya.

Anak jati kelahiran Perlis ini sepatutnya terbang ke Thailand bersama Ziyad dan rakan skuad senior yang lain, namun gagal berbuat demikian ekoran kecederaan buku lalinya yang masih belum pulih.

"Tiada rezeki buat saya untuk beraksi dalam Terbuka Thailand. Pegawai perubatan juga tidak memberikan saya menyertai kejohanan dan ia membuat saya sedikit kecewa," katanya.

Peluang terakhir buat Latif mencari catatan merit untuk layak ke Sukan SEA 2017 hanya dalam Kejohanan Olahraga Dunia IPC di London, bulan depan.

Jelas Latif, dia perlu menggalas dua misi utama di London, iaitu mempertahan emas yang dimenangi dalam edisi lalu selain memastikan lompatan melebihi 7.52 meter bagi merebut slot automatik ke Sukan SEA.

"Saya telah menjalani proses pemulihan hampir sebulan, saya mahu kembali menjalani latihan seperti biasa dan mahu memperbaiki lompatan saya."