Lima tahun lalu, atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly menghadiahkan emas ketiga negara dalam Sukan Paralimpik Rio malah turut memecahkan rekod dunia, bukan sekali tetapi dua kali dengan terbaik menerusi lompatan sejauh 7.54 meter,

Kini dia memasang tiga misi peribadi menjelang Sukan Paralimpik Tokyo Ogos ini.

Keyakinan Latif berdasarkan perkembangan terkini menyaksikan atlet berasal dari Kampung Paya Kelubi, Perlis itu bakal menyertai kejohanan bersama atlet normal, Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan 19 hingga 20 Jun ini.

Bakal beraksi dalam kejohanan kompetitif pertama tahun ini nyata menerbit keterujaan Latif yang mula memasang niat layak secara merit ke Sukan SEA Hanoi hujung tahun ini.

"Saya sangat gembira kerana dapat menyertai kejohanan di Kazakhstan. Ia merupakan kejohanan bagi menentukan cara lompatan, catatan dan perkara yang boleh dipertingkatkan lagi menjelang Sukan Olimpik sementara saya sedang berusaha untuk layak beraksi dalam Sukan SEA," kata Latif.

Individu yang sinonim dengan fenomena 'terbang latif terbang' itu tidak tertekan dengan sasaran diletakkan terhadapnya malah kekal tenang menghadapi saingan di Kazakhstan mahupun Tokyo.

Biarpun muncul salah seorang daripada empat atlet yang dijadikan prospek pingat di Tokyo, Latif sudah mahir cara untuk mengawal emosi demi menjelmakan aksi terbaik.