Dua belas pasukan antarabangsa bakal berkunjung ke Langkawi bagi menyertai Kejohanan Bola Tampar Pantai Siri Jelajah Dunia Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB), dengan Malaysia muncul selaku penganjur kali pertama di Asia Tenggara pada 15 dan 16 April ini.

Antara negara terlibat dari Austria, Kanada, Cuba dan Republik Czech bersaing untuk gelaran sulung kejohanan dan merebut hadiah wang tunai berjumlah RM89,000.

Malaysia adalah negara kedua menjadi tuan rumah kejohanan itu selepas penganjuran di Shepparton, Australia, awal bulan ini.

"Kami masih menanti FIVB untuk memuktamadkan (penyertaan) kerana esok merupakan tarikh akhir," kata Ketua Pegawai Eksekutif E-Plus Global Sdn Bhd, Andrew Ching.

"Buat masa ini, ramai pemain profesional ternama berada di Langkawi, tetapi ini akan mengambil sedikit masa kerana menanti pendaftaran kepada FIVB."

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hanif Basree Abdul Rahman, menegaskan Malaysia kini sedang membuat pemilihan pemain terbaik bagi kejohanan itu.

Bagaimanapun, persediaan skuad negara mencetus tanda tanya kerana belum ada sebarang kata putus barisan pemain yang bakal menyarung jersi negara dalam kategori lelaki mahupun wanita.

"Kami sudah mengenal pasti pemain-pemain yang akan mewakili Malaysia, cuma kami belum mengesahkan pemain manakah yang akan terpilih nanti.

"Kami akan mengesahkannya dalam tempoh beberapa hari ini," tambahnya.