Ketua jurulatih Chelsea, Frank Lampard, memuji bekas rakan sepasukan di Chelsea, Mohamed Salah, yang mengetepikan kekecewaannya di Stamford Bridge dan menjadi seorang bintang.

Salah berhijrah ke Chelsea pada Januari 2014 selepas beraksi cemerlang bersama Basel, bermain dan berlatih bersama Lampard untuk beberapa bulan sebelum legenda The Blues itu menyertai Manchester City.

Pemain berusia 27 tahun iu bergelut mencipta impak ketika di Chelsea selepas hanya turun beraksi dalam 13 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia telah dibenarkan menyertai Fiorentina dan kemudian Roma secara pinjaman sebelum berhijrah secara tetap selepas menampilkan aksi cemerlang bagi musim 2015-16.

Liverpool mengambil khidmat pemain kebangsaan Mesir itu yang telah meledak 58 gol dalam dua musim, rekod jaringan yang mengagumkan Lampard.

"Sukar kerana setiap pemain memiliki jalan tersendiri," kata Lampard. "Malangnya buat Salah, dia gagal membuktikan kemampuannya di Chelsea tetapi saya tetap memuji dirinya. Dia berhijrah ke Itali dan kembali sebagai bintang.

"Dia seorang pemain yang berkualiti, mampu beraksi di posisi nombor 10, bahagian sayap, cuma dia tidak diberikan peluang di Stamford Bridge.

"Meninggalkan Chelsea bukan mudah tetapi Salah telah berjaya menjadi seorang bintang dan saya memuji pencapaiannya."