Laluan perlumbaan berbukit antara faktor yang mampu menjejaskan peluang skuad berbasikal lebuh raya negara untuk mencapai sasaran satu pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

Dengan sasaran itu, sukan berkenaan tidak lagi boleh dianggap sebagai lubuk emas kontinjen negara selepas cemerlang meraih 13 pingat emas dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Walaupun hanya menyasarkan satu pingat emas, ia tetap dilihat sebagai misi sukar gara-gara laluan perlumbaan yang terlalu berbukit.

Pelumba negara, Zawawi Azman, mengakui kebimbangan itu sambil melihat pelumba tuan rumah akan menjadi ancaman terbesar memandangkan mereka lebih mengenali laluan berkenaan.

"Perlumbaan di Filipina memang mempunyai laluan berbukit yang tinggi kerana kami sudah melaluinya ketika berkunjung ke sana bulan lalu.

"Laluannya memang mencabar, jadi pasukan Filipina akan menjadi pencabar kami selain Indonesia dan Thailand," katanya.