Badang negara, Aznil Bidin, terpaksa mengurangkan berat badan sebanyak lima kilogram sebelum menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia di Pattaya, Thailand minggu lalu, yang menjadi punca pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 itu terlepas tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Taruhan utama negara itu perlu mengurangkan berat badan bagi mencabar kategori 61 kilogram, namun dia gagal mempamerkan angkatan terbaiknya untuk berpuas hati menamatkan saingan itu di tangga kelapan dengan angkatan keseluruhan seberat 285 kilogram.

Dengan itu, atlet kelahiran Kedah berkenaan perlu memenangi pingat dalam Sukan SEA Filipina, November depan dan Kejohanan Asia di Kazakhstan (April tahun depan) untuk mengumpul mata kelayakan ke Tokyo.

"Sewaktu latihan, semua orang boleh buat lebih (berat) berbanding catatan peribadi terbaik.

"Jadi, kalau dalam kejohanan, ketika kami sedang berdiet, prestasi kami pasti akan menurun sedikit.

"Ia juga kategori baru dan saya baru sahaja memulakan diet bagi kategori itu.

"Insya-Allah, saya akan melakukan yang lebih baik selepas ini.

"Saya perlu serasikan (diri) dengan diet baru itu.

"Daripada segi tenaga, memang ada sedikit penurunan sebab kekurangan nutrisi.

"Air juga kurang dalam badan.

"Mungkin ada kesilapan yang berlaku sebelum ini, jadi sekarang saya sudah mula faham apa yang diajar jurulatih" katanya.