Perkhabaran baik penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, pulih daripada kecederaan hamstring tepat pada masanya menjelang program jelajah Eropah bulan depan selepas Malaysia terpaksa melupakan khidmat Hairi Abdul Rahman ekoran pembedahan lutut.

Kumar memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu lagi untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.

Dia sudah menyertai sesi latihan skuad kebangsaan, namun hanya menjalani latihan ringan.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu dijangka kembali mewakili negara dalam program jelajah Eropah bermula 22 Julai depan di mana Malaysia akan mengadakan aksi persahabatan menentang gergasi dunia seperti Belgium, Belanda, Jerman, Great Britain dan Ireland.

"Saya belum berada di tahap 100 peratus sepenuhnya, tengoklah macam mana hasilnya dalam tempoh beberapa minggu ini.

"Saya masih perlu melakukan sesi membina kekuatan selain latihan di padang supaya saya dapat mengembalikan ketangkasan.

"Buat masa ini, saya mengikuti dua sesi di padang bersama pasukan kebangsaan," katanya.

Skuad negara dilanda krisis kecederaan selepas Hairi, Luqman Nur Hakim (pertahanan), Ahmad Syukran, Mohd Haziq Shamsul (pemain tengah) dan Firhan Ashaari (penyerang) terpaksa berehat panjang.

Situasi itu memaksa pengendali, Roelant Oltmans, untuk memanggil semula pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor, melaporkan diri Isnin ini.

"Saya berasa gembira untuk kembali menyertai skuad negara.

"Saya sahut cabaran untuk mencapai misi ke Sukan Olimpik 2020 kerana sudah 20 tahun Malaysia tidak beraksi di pentas Sukan Olimpik," ujarnya.