Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, yang muncul pemain kedua tertua dalam separuh akhir Liga Hoki Dunia, dijangka mampu menghalang Argentina selaku benteng terakhir dalam aksi Sabtu ini berdasarkan pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa.

Pada usia 38 tahun, Kumar masih lagi penjaga gol utama negara dan kehadirannya menjadi pembakar semangat rakan sepasukan untuk mencabar tiket Piala Dunia 2018, terutama ketika berdepan skuad di ranking nombor satu dunia itu.

Malah, penjaga gol Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu langsung tidak bimbang dengan ancaman utama menerusi pakar pukulan sudut penalti Argentina, Gonzalo Peillat.

"Pasukan seperti Argentina, England, Korea Selatan dan China, mereka memiliki pakar pukulan sudut penalti yang berkualiti dan latihan penjaga gol dipertingkatkan bagi memastikan mampu menghadapi cabaran ini," katanya.

Kumar tidak beraksi dalam separuh akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium 2015 dan akhirnya Malaysia gagal ke Sukan Olimpik Rio.

Sementara itu, sesi latihan penjaga gol negara yang turut dibarisi pemain muda, Hafizuddin Othman, lebih terarah untuk memastikan kecergasaan, terutama bagi menghalang pukulan sudut penalti Argentina.

"Kumar merupakan seorang penjaga gol yang berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa bersama Malaysia. Saya berharap dia mampu memberikan yang terbaik," kata Hafizuddin.

Turut mengulas mengenai perlawanan itu, jurulatih pasukan, Stephen Van Huizen, berkata: "Argentina berjaya menghasilkan lebih daripada 10 gol menerusi pukulan sudut penalti. Saya berharap Malaysia dapat mematahkan percubaan mereka," tambahnya.

Saksikan perlawanan di antara Malaysia dan Argentina secara langsung pada Sabtu ini, jam 3 pagi, hanya menerusi Astro Arena 802 HD dan 801.